KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Yusni Jaafar meninggal dunia awal pagi ini di Hospital Selayang akibat kegagalan hati.
Yusni, 63, menghembuskan nafasnya pada kira-kira jam 2.30 pagi.
Menurut anak keduanya Raja Ema, ibunya dimasukkan ke hospital itu pada 31 Januari lalu.
Anak bongsu Yusni, Raja Irna Raja Ibrahim, 23, berkata air dan darah yang dimasukkan ke tubuh beliau tidak sampai kepada tempat yang sepatutnya kerana berkumpul pada anggota badan.
"Kata doktor, hati ibu sudah rosak teruk dan tidak dapat berfungsi lagi sehinggakan menjejaskan fungsi buah pinggang. Air yang dimasukkan ke dalam badan ibu berkumpul juga pada bahagian anggota tubuh. Doktor memberitahu kandungan darah ibu juga tidak mencukupi walaupun sudah dimasukkan dengan banyak," katanya ketika ditemui di wad terbabit.
Raja Irna, anak yang paling akrab dengan Yusni, dilihat kerap berusaha mengubah suasana pilu dalam wad seperti bergurau kecil dengan ibunya. Malah pada ketika wartawan menghala lensa kamera untuk merakam gambar mereka, lantas Irna mengangkat tangan Yusni dan menyuruh ibunya membuat tanda peace dan melontarkan senyuman .
Saat menyentuh hati, ketika berjabat tangan perpisahan dengan wartawan , Yusni sempat mengirimkan salamnya kepada para peminat dan meminta untuk mendoakannya agar cepat pulih.
"Sampaikan salam saya kepada peminat dan mintalah mereka semua berdoa supaya saya sembuh," katanya dengan nada yang terlalu lemah.
Orang yang paling dekat dengan Yusni iaitu adiknya, pelakon Sukarni Jaafar, 55, atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Nani, turut ditemui bersama di wad itu. Dialah antara orang yang berusaha keras memberi semangat kepada Yusni untuk terus berjuang. Difahamkan, anak-anak Yusni yang lain termasuk Raja Ema juga datang menjaga Yusni secara bergilir-gilir di hospital berkenaan.
"Sebelum ini, dia pernah dimasukkan ke hospital ini beberapa kali, bagaimanapun kali ini dia ditahan paling lama apabila doktor mengesahkan keadaannya berada pada tahap paling kritikal. Sudah seminggu lalu dia dimasukkan ke wad ini," kata Sukarni dalam nada sedih.
Katanya, jenazah ibunya dibawa balik ke rumah keluarga di 37, Jalan USJ 3/2, Taman Seafield Jaya, Subang Jaya, dekat sini dan disembahyangkan di Masjid USJ 15, pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21. Yusni, anak kelahiran Tumpat, Kelantan meninggalkan lima cahaya mata.
Antara pencapaian allahyarham sepanjang bergelar anak seni ialah memenangi Pelakon Wanita Komedi Terbaik pada Pesta Filem Malaysia kelapan pada 1989.
Filem pertama lakonannya ialah filem Panglima Badol pada 1978 dan sepanjang hayatnya berlakon dalam kira-kira 20 filem tempatan.
Lakonan terakhir allahyaram ialah dalam filem Cuci pada tahun lalu.